KOTA BELANDA
Kota Belanda terletak di Kampung Teluk Gedung, Selatan Pulau Pangkor. 10 minit pergerakan kenderaan dari jeti utama Pulau Pangkor. Kota ini menjadi tinggalan Belanda di Pulau Pangkor dan kini berusia mencecah 348 tahun. Ia menjadi destinasi tarikan pelancong berasaskan sejarah dan para pelancong berpeluang melihat rekabentuk kota tinggalan belanda yang dibina menggunakan batu merah. Rekabentuknya berempat segi dan dikawal dengan sudut sembunyi dan senjata. Keluasan dan ketinggian kota Belanda ini tidak dapat dijelaskan dengan lebih terperinci kerana tidak terdapat sumber yang tepat.
Kota ini telah dibina oleh Syarikat Hindian Timur Belanda pada tahun 1670 bagi tujuan sebagai pusat penyimpanan bijih timah yang diperolehi dari kawasan-kawasan di negeri Perak. Kota ini bertujuan sebagai kubu pertahanan Belanda di Pulau Pangkor dari serangan musuh dan juga sebagai kota kawalan laluan pedagang di selat Dinding. Pada Tahun 1690, kota ini telah dibinasakan oleh rakyat tempatan kerana tidak setuju dengan cara Belanda memperolehi bijih timah tersebut. Belanda telah membinanya semula pada tahun 1743 dan menempatkan seramai 60 orang pengawalnya di kota ini sehingga tahun 1743.
Pada tahun 1743, Panglima Kulup yang merupakan pahlawan
tempatan melayu telah membuat perancangan yang rapi bagi menyerang Kota Belanda
beberapa kali tanpa berputus asa sehingga berjaya menewaskan Belanda dan
menghalau Belanda dari Pulau Pangkor pada tahun tersebut
Kota ini telah dibina semula oleh
Jabatan Muzium pada tahun 1973 dan telah diwartakan sebagai Monumen Lama dan
Tapaktanah Bersejarah Dibawah Akta Bendapurba 1976 Dalam Seksyen No. 242, Warta
Kerajaan Negeri Perak Bertarikh 21hb Mac 1978.
Pihak Majlis Perbandaran Manjung merupakan pihak yang bertanggungjawab dalam menjaga dan menyelenggara persekitaran kota ini sebagai pusat tarikan pelancong utama di Pulau Pangkor. Terdapat komponen lanskap telah dibina disamping kedai kedai perniagaan kraftangan dan juga produk tempatan.
Video Kota Belanda
Disusun oleh
Bahagian Pelancongan, Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung